page

Saturday, January 22, 2011

Peranan Pemuda Islam


Pemuda digambarkan sebagai seseorang yang sedang melalui satu peringkat tumbesaran di mana kekuatan fizikal, mental dan spiritual berada pada tahap yang paling optimum. Zaman ini merupakan satu peringkat seseorang manusia mampu mencari resolusi terbaik buat menangani masalah yang didepani.

Pemuda digambarkan sebagai unsur kekuatan dan menjadi tiang seri kepada pembangunan umat. Pemuda Islam bukan setakat mampu menghadapi gelodak cabaran namun terpikul dipundaknya risalah Islam yang merupakan risalah Nabi Muhammad S.A.W dan risalah Al-Quran .

Firman Allah :
Kami ceritakan kisah mereka kepadamu ( Muhammad ) dengan sebenarnya, maka sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk. ( al- Kahfi : 13 )

Peranan:

Pertama : Tanggungjawab Memahami Islam
Tanggungjawab ini telah digariskan oleh agama. Pemuda-pemuda perlu mempelajari ilmu agama namun diwaktu yang sama tidak meninggalkan bidang pengkhususan masing-masing.
Pemahaman yang tepat terhadap Islam akan mengelakkan mereka daripada menambah perkara-perkara yang tidak bersangkutan dengan agama dan dinamakan dengan Bid’ah Hasanah. Pemahaman yang tepat juga mengelakkan pemuda-pemuda daripada mengurangkan dan mengubahsuaikan agama supaya menepati selera mereka.

Sabda Nabi S.A.W :
Barangsiapa yang melakukan sesuatu perkara baru dalam urusan kami ini, perkara yang tidak bersangkutan dengannya, maka ia tertolak.
Pemuda-pemuda harus membezakan antara perkara tunjang dengan cabang. Mereka juga sepatutnya mendahulukan perkara yang lebih utama berbanding perkara yang remeh temeh. Keupayaan membezakan antara halal dan haram, fardhu dan sunat, makruh dan harus sepatutnya menjadi pertimbangan pemuda-pemuda Islam.
Pemahaman ini tidaka akan diperolehi dengan tepat melainkan jika sumber yang digunakan adalah Al-Quran dan Sunnah, bukannya cerita-cerita Israiliyat, riwayat-riwayat dhaif, hadis-hadis ciptaan ataupun ilham peribadi.
Lantaran itu, belajar adalah satu perkara yang wajib dan menjadi wasilah untuk mendapat kefahaman yang jelas terhadap agama dan pengetahuan yang lain. Sebagai contohnya, pemuda-pemuda tidak lari daripada mempelajari hokum-hukum bersuci, sembahyang dan puasa.
Mereka juga tidak boleh lari daripada mempelajari hukum-hukum haji. Seandainya pemuda-pemuda ini seorang yang berharta maka wajar bagiya untuk mempelajari hokum zakat dan jika pemuda tersebut seorang usahawan maka wajib baginya mempelajari hokum-hukum yang berkaitan dengan keusahawanan.
Pemuda-pemuda juga harus belajar daripada pengalaman-pengalaman orang-orang terdahulu dan mengambil seerah Rasulullah sebagai panduan di dalam urusan hidupnya. Namun akibat kecuaian umat Islam suatu ketika dahulu, pemuda-pemuda lebih mengetahui sejarah barat. Malah memalukan kerana mereka engenali Napoleon lebih baik berbanding Nabi Muhammad S.A.W. Mereka tidak mengetahui melainkan kekejaman Islam dan terpesona dengan peradaban Barat.
Dari sinilah bertolaknya kewajipan pemuda-pemuda Islam untuk memahami Islam diajar secara berperingkat-peringkat. Begitulah juga dengan amalan untuk melaksanakan ajaran Islam. Pemuda-pemuda Islam bolehlah berpada dengan amalan fardhu, kemudian melakukan amalan sunat dan nawafil. Selepas itu mereka cuba untuk melengkapkannya dengan bangun malam dan melipatgandakan amalan-amalan sunat.
Demikian jugalah dari segi meninggalkan tegahan Allah. Pemuda-pemuda Islam memulakannya dengan meninggalkan perkara-perkara yang jelas haram dan diikuti dengan perkara-perkara syubhat dan makruh dan akhir sekali meninggalkan kebiasaan perkara-perkara sia-sia yang mungkin pada pandangan umum merupakan kebiasaan yang tiada salahnya.
Dia patut memahami Islam sehingga dia mampu menolak sebarang bentuk keraguan dan salah faham terhadap agama Islam. Selain daripada itu, dengan pemahaman yang jitu pemuda-pemuda akan mampu untuk memahamkan orang-orang lain dan menangkis tohmahan orang-orang sesat.

Kedua : Tanggungjawab Beramal Dengan Islam
Pohon yang rendang tidak bermanfaat seandainya tidak mengeluarkan buah. Begitulah perumpamaan seorang yang berilmu tetapi gagal beramal dengan ilmunya. Janganlah pemuda Islam menjadi bahan tempelakan Allah seperti Allah menempelak bangsa-bangsa terdahulu yang menerima kitab samawi dan mereka belajar tentangnya tetapi tidak dengan ajaran yang dipelajarinya.

Firman Allah :
Perumpamaan orang-orang yang dipikul ke atas mereka Kitab Taurat , kemudian mereka tidak memikulnya (tidak beramal dengan kandungannya) adalah seperti kaldai yang membawa kitab-kitab tebal. Amat buruklah perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu dan allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. ( al Jumu’ah : 5 )
Dakwah Islamiah lebih cepat tersebar melalui Qudwah yang baik yang terpancar melalui akhlak-akhlak dan perilaku umat muslimin. Seandainya pemuda Islam gagal untuk beramal dengan ajaran Islam yang telah dipelajari dan difahaminya, maka usaha penyebaran dakwah akan terbantut. Islam amat indah jika dibaca di dalam buku tetapi dek kerana kesilapan penganutnya yang enggan beramal dengan ajaran Islam secara total maka tampaklah keburukan umat Islam.
Amat menyedihkan umat islam kini tatkala mendengar kata-kata seorang Barat yang baru menganut agama Islam ; “ Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mengenalkan aku kepada Islam sebelum aku mengenali orang-orang Islam”.

Ketiga : Tanggungjawab Berdakwah Kepada Islam
Tidak cukup untuk seseorang pemuda memahami Islam dan berjaya membentuk dirinya menjadi seorang yang soleh tetapi dituntut daripada mereka untuk memikul beban dakwah Islam.

Firman Allah :
Hai anakku ! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah manusia mengerjakan kebaikan dan cegahlah ( mereka ) daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan oleh Allah. (Luqman : 17 )
Dewasa ini kejahilan yang melata di dunia menuntut pemuda Islam untuk menjadi seorang pekerja agama buat mengembalikan manusia kepada pengalaman Islam yang mutlak. Tugas ini bukanlah satu tanggungjawab yang ringan dek kerana halangan-halangan daripada manusia sendiri yang bebal untuk menerima Islam sebagai agama yang sempurna. Namun dalam melaksanakan tanggungjawab ini pemuda Islam harus sedar bahawa tiada satu dakwah pun yang tidak akan ditentang. Pemuda Islam harus sedar tiada tugas yang lebih besar yang menanti mereka daripada melaksanakan tanggungjawab berdakwah ini.
Firman Allah : Siapakah yang lebih baik perkataan daripada orang menyeru kepada Allah, mereka mengerjakan amal soleh dan berkata “ Sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang yang menyerah diri “. ( Fussilat : 33 )

Keempat : Tanggungjawab Bersatu Kerana Islam
Pemuda-pemuda Islam yang berkefahaman jitu dan sanggup bekerja untuk Islam seharusnya bertanggungjawab untuk saling Bantu membantu sesame pekerja Islam dan sama-sama berusaha untuk mengembalikan keagungan Islam. Tugas ini amatlah berat dan cita-cita ini tidak akan tercapai sekiranya pekerja-pekerja Islam bergerak secara bersendirian. Islam memerlukan pekerja yang bergerak secara berkumpulan dan jiwa pekerjanya diikat dengan tali kasih sayang dan ukhuwwah walaupun terdapat perbezaan corak kerja antara kelompok-kelompok Islam.
Sekiranya golongan kafir mampu untuk bersatu menentang Islam,kenapakah petugas-petugas Islam tidak mampu berganding bahu dan saling bantu membantu untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah ?

Firman Allah :
Dan orang-orang kafir sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Jika kamu ( orang-orang Islam ) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu,nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar. ( al-Anfal : 73 )

Kesimpulan:
Akhir kata inilah empat tanggungjawab yang mesti dilangsaikan oleh pemuda Islam. Mereka sepatutnya memeriksa setiaptanggungjawab ini di dalam dirinya; adakah semua tuntutan ini sudah ditunaikan ataupun pernahkah dia melaksanakan tanggungjawab ini ?. Berbanggalah mereka tatkala hari kemenangan Islam tiba dan mereka merupakan penolong agama allah.
Dan di hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman dengan pertolongan Allah. Dia yang menolong sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Pengasih ( ar- Rum : 4-5 )
Semoga kita menjadi batu bata kepada binaan Islam..pewaris Generasi Solahuddin al-Ayyubi…

Monday, January 17, 2011

Wajib Penuhi Seruan Allah dan RasulNya


Semua orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian wajib meyakini bahawa syariat Islam diturunkan oleh Allah ta’ala untuk kebaikan dan kebahagiaan hidup Manusia. Kerana Allah ta’ala mensyariatkan agama-Nya dengan ilmu-Nya yang maha tinggi dan hikmah-Nya yang maha sempurna, maka jadilah syariat Islam satu-satunya pedoman hidup yang boleh mendatangkan kebahagiaan hakiki bagi semua orang yang menjalankannya dengan baik.


Allah ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ

“Wahai orang-orang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya yang mengajak kamu kepada suatu yang memberi (kemaslahatan/kebaikan) hidup bagimu.” (Qs. al-Anfaal: 24). (Lihat “Tafsir Ibnu Katsir”, 4/34)

Imam Ibnul Qayyim -semoga Allah ta’ala merahmatinya- berkata: “(Ayat ini menunjukkan) bahwa kehidupan yang bermanfaat hanyalah akan diperolehi dengan memenuhi seruan Allah dan Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wa sallam. Maka barangsiapa yang tidak memenuhi seruan Allah dan Rasul-Nya maka dia tidak akan merasakan kehidupan (yang baik). Meskipun dia memiliki kehidupan (seperti) haiwan, yang juga dimiliki oleh binatang yang paling hina (sekalipun). Maka kehidupan baik yang hakiki adalah kehidupan seorang yang memenuhi seruan Allah dan Rasul-Nya secara zahir mahupun batin.” (Kitab al-Fawa-id, hal. 121- cet. Muassasatu Ummil Qura’)

Semakna dengan ayat di atas Allah ta’ala berfirman:

مَنْ عَمِلَ صَالِحاً مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik lelaki  mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik (di dunia), dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka (di akhirat) dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Qs. an-Nahl: 97)

Para ulama salaf menafsirkan makna “kehidupan yang baik (di dunia)” dalam ayat di atas dengan “kebahagiaan hidup” atau “rezeki yang halal” dan kebaikan-kebaikan lainnya. (Lihat “Tafsir Ibnu Katsir”, 2/772)


Oleh itu, ayuhlah semua umat Islam..kita menyahut seruan ini demi mencapai matlamat penciptaan kita di muka bumi ini seperti mana firman Allah:




Firman Allah: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan. Sesungguhnya Allah dialah Maha pemberi rezeki yang mempunyai ukekuatan lagi sangat kukuh”.AzZariyat: 56-58)

Inilah matlamat penciptaan kita semua iaitu pengabdian yang sempurna kepada Allah dan Allah menjamin rezeki kepada semua hidupan dan semua makhluk..



Allah adalah pemberi rezeki yang sebenarnya. Oleh sebab itu juga seruan Allah di dalam sebuah hadith qudsi: “Wahai anak Adam, janganlah takut kepada mana-mana kuasa selagi kuasa Ku masih ada, apatah lagi kuasa Ku kekal dan tidak akan hilang selama-lamanya. Wahai anak Adam, janganlah kamu takut kehilangan punca rezeki selagi khazanah Ku masih penuh, apatah lagi khazanahKu tetap penuh dan tidak akan habis selama-lamanya”.

Berdoalah kepada Allah supaya mengurniakan kepada kita sifat ikhlas dalam kata-kata dan amal, mengurniakan rezeki yang halal dan berkat kepada kita dan menjauhkan kita dari sumber yang haram sepertimana kita jauh dari timur dan barat.

Selawat dan salam ke atas junjungan nabi kita Muhammad saw.


Saturday, January 15, 2011

Hamba yang bersyukur



Oleh: Syikh Hijazi Ibrahim Tsarya
Terjemahan:  Ustaz Suhaimi

Segala pujian hanya bagi Allah, kita memujiNya, memohon doa dan beristighfar kepadaNya. Kepada Allah kita berlindung dari kejahatan nafsu kita dan keburukan perbuatan kita. Orang yang dikurniakan hidayah oleh Allah tidak akan sesat, sementara orang yang disesatkan tidak akan memperoleh hidayah untuknya. Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah sahaja dan tiada yang sekutu denganNya. Firman Allah:

Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku. (Al-Baqarah: 152)

Saya bersaksi bahawa junjungan kita dan nabi kita Muhammad saw adalah hambaNya dan rasulNya. Baginda adalah hamba yang paling bersyukur kepada Allah swt dengan beribadah sehingga bengkak-bengkak tapak kakinya.

Daripada Ziyad berkata: Saya telah mendengar al-Mughirah r.a pernah berkata bahawa nabi saw bangun malam atau solat sehinggan bengkak kakinya atau tapak kakinya. Nabi pernah ditanya tentang hal ini, tetapi dijawab dengan sabdanya: “Bukankah saya hamba yang paling bersyukur”. (Fath al-Bari: 3/14/1130)

Selawat dan salam ke atas junjungan kita nabi Muhammad saw, keluarganya dan para sahabatnya yang mulia dan bertakwa. Adapun selepasnya:

Daripada Ibn al-Munkadar berkata di atara doa Rasulullah saw ialah: “Ya Allah, tolonglah saya supaya sentiasa berzikir padaMu, mensyukuriMu dan menyempurnkan ibadah kepadaMu”. (Ad-Dur al-Mantsur: 1/279)

Wahai hamba Allah. Sesungguhnya Allah telah menciptakan kita dalam bentuk yang terbaik, melengkapkan kita dengan pancaindera dan anggota yang membolehkan kita bebas bergerak dan bepergian ke mana sahaja dan memungkinkan kita menikmati segala kebaikan yang terdapat di alam ini. Di samping itu Allah telah mengurniakan pelbagai nikmat, kemewahan yang melimpah ruah dan memberikan rezeki dan makanan yang baik-baik seperti yang diperlukan oleh badan kita dan memelihara kehidupan kita. Benarlah Allah berfirman:
Dan dia Telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah). (Ibrahim: 34)

Nikmat-nikmat ini menuntut kita supaya bersyukur kepada pemberi nikmat. Allah swt telah memerintahkan hal ini di dalam firmanNya:

“  Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah”. (Al-Baqarah: 172)
“Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezki yang Telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu Hanya kepada-Nya saja menyembah”. (An-Nahl: 114)
Justeru bersyukur kepada Allah di atas nikmat-nikmatNya merupakan antara hak-hak pengabdian dan kesempurnaannya, di samping ianya merupakan jalan untuk memperolehi keredhaan Allah.

Daripada Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda: “Sesungguhnya Allah meredhai hamba yang apabila menikmati sesuatu makanan, maka ia segera mengucapkan tahmid kepada Allah, atau apabila menikmati minuman, maka segera ia mengucapkan tahmid kepada Allah”. (An-Nawawi Sharh Sahih Muslim: 17/50/89 (2734)

Daripada Aisyah r.a dari nabi saw telah bersabda: “Tidaklah nikmat yang dikurniakan kepada seseorang hamba dan ia mengetahui ianya daripada Allah melainkan Allah tuliskan untuk syukurnya sebelum ia mengucapkan tahmid kepada Allah. Tidaklah Allah ketahui seseorang hamba yang menyesal kerana dosanya melainkan Allah akan mengampuninya sebelum ia beristighfar kepadaNya. Seorang lelaki yang membeli sehelai baju dengan wangnya, lalu memakainya dan bertahmid kepada Allah, maka belum sampai ke dua pehanya melainkan dosanya telah diampunkan”. (Dur Al-Mantsur: 1/280)

Wahai hamba Allah, bersyukur kepada Allah tidak memadai dengan lidah sahaja, tetapi dengan lidah dan perbuatan. Manakala nikmat yang Allah kurniakan kepadamu , maka ianya hendaklah digunakan untuk mentaati Allah dan mengharapkan keredhaanNya dan tidak digunakan kepada perkara maksiat.

Daripada al-Junaid berkata: Pada satu hari as-Sariy bertanya: Apakah pandanganmu tentang syukur? Lalu saya katakan padanya: “Syukur pada pandangan ku ialah tidak menggunakan nikmat-nikmatnya ke arah maksiat”. (Ad-Dur al-Mantsur: 1/281)

Menurut Zun Nun al-Misriy: “Syukur ialah memberikan ketaatan kepada orang yang lebih tinggi darimu, memberikan kesamaan dengan orang yang setaraf dengamu, dan berihsan serta memuliakan orang yang lebih rendah darimu”.   (Ad-Dur al-Mantsur: 5/431)

Syukur dengan perbuatan terlalu sedikit yang melakukannya sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah:
Bekerjalah Hai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih. (Saba’: 14)
Diriwayatkan bahawa Nabi Daud a.s berkata: “Bagaimana saya mensyukuriMu wahai Tuhan sedangkan syukur adalah nikmat dariMu!” Lalu Allah berfirman: “Sekarang kamu telah membuatKu mengetahui dan kamu telah mensyukuriKu, kerana engkau telah mengetahui bersyukur kepadaKu itu kerana nikmat”. Lalu Daud berkata lagi: “Wahai Tuhan, tunjukkan kepadaku nikmatMu yang Engkau berikan kepadaku yang paling tersembunyi”. Allah berfirman: “Wahai Daud, bernafaslah. Lalu Daud bernafas..Lalu Allah berfirman: “Siapakah orang yang menghitung nikmat-nikmat ini malam dan siang?”.

Daripada Tsabit al-Banani r.a berkata: Kami telah mendengar berita bahawa Daud a.s mengurniakan solat kepada isteri-isteri dan anak-anaknya. Tidak berlalu waktu malam dan siang melainkan keluarga Daud sedang solat. Ayat ini ditujukan kepada mereka:
Bekerjalah Hai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah).

Daripada ‘Ato’ bin Yassar r.a berkata bahwa Rasulullah saw telah berkhutbah di atas mimbar sambil membacakan ayat ini: “Bekerjalah Hai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah).Tiga perkara sesiapa yang mendatangkannya maka ia juga akan dapat seperti yang diperolehi keluarga Daud: Adil di dalam kemarahan dan kerelaan, pertengahan di dalam kefakiran dan kekayaan dan mengingati Allah ketika terang dan tersembunyi”. (Ad-Dur al-Mantsur: 1/430)

Manakala bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang dikurniakan kepada kita melalui anggota ialah seperti yang diriwayatkan bahawa Abu Hazim telah didatangi seorang lelaki yang bertanya: Bagaimana mensyukuri mata? Lalu dijawab Abu Hazim: Seandainya kedua matamu melihat kebaikan, maka sebarkanlah. Tetapi seandainya kedua matamu melihat keburukan sembunyikanlah. Lelaki itu bertanya lagi: Bagaimana pula mensyukuri dua telinga? Abu Hazim menjawab: Seandainya telingamu mendengar kebaikan tumpulah perhaatian padanya. Tetapi seandainya kedua telingamu mendengar keburukan, maka abaikanlah dari mendengarinya. Lelaki itu bertanya lagi: Bagaimana mensyukuri dua tangan? Abu Hazim menjawab: Janganlah keduanya mengambil yang bukan hak keduanya. Tidak ditegah mengambil hak yang Allah berikan kepada keduanya. Beliau bertanya lagi: Bagaimana menysukuri perut?. Jawab Abu Hazim: hendaklah perutmu di bahagian bawah dipenuhi makanan dan di bahagian atas dipenuhi ilmu. Beliau bertanya lagi: Bagaimana mensukuri kemaluan? Jawab Abu Hazim: seperti firman Allah:

“5.  Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,6.  Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; Maka Sesungguhnya mereka dalam hal Ini tiada terceIa.7.  Barangsiapa mencari yang di balik itu Maka mereka Itulah orang-orang yang melampaui batas. (Al-Mukminun: 5-7)
Lelaki itu bertanya lagi: Bagaimana mensyukuri kedua kaki? Jawab Abu Hazim: Sekiranya engkau lihat hidup (sihat) maka dengan senang hati engkau gunakan kedua kaki. Sekiranya engkau lihat mati maka hentikanlah kerjanya. Engkau termasuk orang yang bersyukur kepada Allah. Manakala orang yang bersyukur melalui lidahnya sedangkan anggotanya yang lain tidak bersyukur, maka ia seakan-akan seperti lelaki yang mempunyai baju jaket. Beliau hanya menyangkutkannya di suatu tempat dan tidak memakainya serta tidak memanfaatkannya ketika panas, sejuk, salji atau hujan.  (Ad-Dur al-Mantsur: 1/281)

Manakalah mensyukuri rezeki dari Allah dari segi harta ialah dengan menunaikan hak golongan yang dimaklumi seperti orang yang meminta dan tiada apa-apa, menafkahkan secara rahsia atau terang-terangan sama ada waktu malam atau siang. Orang yang dikurniakan rezeki yang lebih hendaklah menunaikan zakat dan orang yang bersyukur kepada Allah akan ditambah lagi nikmatnya seperti firman Allah:

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu”. (Ibrahim: 7)
 Dari Qatadah yang menyatakan maksud ayat ini bahawa: Hak ke atas Allah ialah memberikan apa yang diminta oleh hambaNya dan menambahkan rezeki kepada orang yang mesyukuriNya, kerana Allah adalah pemberi nikmat dan amat menyukai orang-orang yang bersyukur. Oleh sebab itu bersyukurlah kepada Allah di atas segala nikmat kurniaanNya.  

Orang yang dikurniakan ilmu oleh Allah hendaklah mensyukuriya dengan menafkahkan ilmu itu dengan cara mengajarkannya kepada orang lain dan mengasuh keluarga dan jirannya. Orang yang dikurniakan pangkat da kedudukan oleh Allah hendaklh mensyukurinya dengan menggunakan untuk memudahkan urusan orang lain dan menyempurkan kemasalahatan mereka.

Selain dituntut bersyukur dengan melakukan perbuatan, seorang muslim juga dituntut bersyukur dengan lisan, iaitu pada setiap pagi dan petang dengan sentiasa mengakui kelebihan Allah serta mengaku kelemahan dan kefakiran makhluk seluruhnya. Inilah yang diajarkan oleh Rasul saw seperti riwayat daripada Abdullah bin Ghanam berkata:

Rasulullah saw telah bersabda: “Orang yang membaca di waktu pagi: “اللهم ما أصبح بي من نعمة أو بأحد من خلقك فمنك وحدك لا شريك لك فلك الحمد ولك الشكر, maka dia telah bersyukur sepanjang hari tersebut. Barangsiapa yang membaca seperti ayat ini diwaktu petang, maka dia telah bersyukur sepanjang malamnya”.  (Abu Daud dan Nasai)

Daripada Abi Umar as-Syaibani berkata: Nabi Musa telah berkata semasa bermunajat di Bukit Thur: “Wahai Tuhan, sesunguhnya saya telah melaksanakan solat seperti yang Engkau perintahkan, Saya telah bersedekah seperti yang Engkau perintahkan. Saya telah menyampaikan risalah seperti yang Engkau perintahkan, maka adakah saya telah bersyukur kepadaMu? Allah telah berfirman: “Wahai Musa, sekarang engkau telah mensyukuriKu”. (Ad-Dur al-Mantsur: 1/281)

Saudara seIslam, Rasulullah telah menyampaikan kepada kita satu amanat yang sungguh berharga tentang syukur dan larangan daripada mengengkari dan mengkufuri nikmat.

Daripada Anas bi Malik r.a bahwa Rasulullah saw telah bersabda: “Barangsiapa dalam hal agama yang melihat orang yang di atas dan dalam hal dunia melihat orang yang di bawahnya, maka Allah tuliskan untuknya sebagai orang yang sabar dan bersyukur. Barangsiapa dalam hal agama yang meliht orang yang di bawahnya, dan dalam hal dunia meliht orang yang di atasnya, maka Allah tidak tuliskan untuknya sebagai orang yang sabar dan bersyukur”. (Ad-Dur al-Mantsur: 1/281)

Wahai hamba Allah, Jikalau bersyukur kepada Allah merupakan perkara fardu dan wajib ke atas kita, maka bersyukur kepada orang yang memberi kebaikan kepada kita adalah dengan berterima kasih dan tidak mengengkarinya haknya. Ini adalah di antara sifat orang Islam dan akhlak mereka.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: “Tidak bersyukur kepada Allah selagi tidak mensyukuri manusia”.  (Abu Daud: 4/256/4811)

Menurut al- Khitobi: Kenyataan ini membawa dua makna:

1.      Orang yang sifatnya mengkufuri nikmat manusia dan tidak mensyukuri manusia, maka kebiasaannya ia telah mengkufuri nikmat Allah dan tidak mensyukuriNya.

2.      Allah tidak menerima kesyukuran hamba melalui sifat ihsanNya jikalau hamba itu tidak mensyukuri manusia kerana hubungan yang erat antara dua perkara tersebut.

Permulaan orang yang wajib disyukuri oleh mereka ialah kedua ibubapa. Allah telah membandingkan suruhan bersyukur kepadaNya dengan syukur kepada kedua ibubapa. Firman Allah:

“ Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya Telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. bersyukurlah kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakmu, Hanya kepada-Kulah kembalimu”. (Luqman: 14)

Ada pendapat mengatakan: Syukur kepada Allah kerana mendapat nikmat iman, sementara syukur kepada ibubapa kerana mendapat nikmat didikan dan asuhan.

Menurut Suffian at-Tsauri: “Orang yang menyempurnaka solat lima waktu, maka telah bersyukur kepada Allah. Orang yang mendoakan kedua ibubapanya sebaik selepas solat, maka beliau telah bersyukur kepada keduanya”. (Al-Qurtubi: 14/44)

Akhirnya, menurut Umar bin Abdul Aziz: “Kamu hendaklah mengikat nikmat Allah dengan mensyukuriNya dan bersyukur kepada Allah ialah meninggalkan perbuatan maksiat”.

Menurut Fudhail bin Iyad: “Kamu hendaklah bersyukur kerana kaum yang sedikit mendapat nikmat oleh Allah kerana nikmat itu telah lenyap dari mereka, kemudian nikmat itu telah kembali setelah mereka bersyukur”.

Dari ‘Imarah bin Hamzah berkata: “Jikalau telah sampai kepada kamu sekelompok nikmat, maka janganlah kamu larikannya jauh dengan sebab kamu terlalu sedikit bersyukur”. 

-------------------
Penulis adalah ulamak Al-Azhar dan anggota persatuan ulamak Islam sedunia

Kebaikan Kecil Yang Besar Nilainya


Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling (bergembira) dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia”. (Hadis Riwayat Muslim)

Hidup ini harus dipenuhi dengan amal soleh dan meninggalkan semua amal jahat kerana itulah sifat sebenar mukmin. Islam mengajarkan segala perbuatan baik dilakukan dengan ikhlas sama ada besar atau kecil, sedikit atau banyak tetap dinilai oleh Allah SWT dan tersedia baginya ganjaran pahala.

Allah SWT menggalakkan kita berlumba mengerjakan kebaikan dengan tidak menetapkan nilai atau ukurannya seperti firman-Nya bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah : Ayat 148)

Adakalanya kebaikan itu mungkin kecil pada pandangan manusia, tetapi nilainya besar pada pandangan Allah.
Hadis ini mengisahkan seorang lelaki melalui sebatang jalan yang biasa dilalui kaum Muslimin dan terlihat sebatang dahan berduri seakan-akan mahu jatuh. Bimbang dahan itu jatuh dan menimpa orang ramai, lelaki berkenaan memotong dahan itu.

Disebabkan kebaikannya, Allah mengampuninya dan memasukkan dia ke syurga. Lelaki tadi kelihatannya membuat sedikit saja kebaikan, tetapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan nilai sangat besar iaitu syurga penuh kenikmatan.

Kita tidak tahu sebenarnya apakah amalan kita selama ini yang mendatangkan rahmat dan keredhaan Allah. Mungkin rahmat dan redha Allah datang sewaktu kita mengukir senyuman kepada rakan, sewaktu memberi salam atau memimpin orang yang buta melintas jalan.

Jadi, meremehkan kebaikan kecil itu sebenarnya salah besar kerana siapa tahu, dengan kebaikan kecil itulah yang akan memberikan pahala besar, meraih rahmat dan redha Allah SWT.

Sunday, January 2, 2011

Pesanan Rasulullah Untuk Remaja/Pemuda Islam


Petikan dari “Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini”, Abdullah Nasih Ulwan
  1. Remaja/ Pemuda yg menghambakan diri
    • “ Tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah di hari yang tidak ada perlindungan kecuali perlindunganNya… …pemuda yang hidup di dalam keadaan memperhambakan diri kepada Allah.”
    • (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  2. Rebutlah masa muda
    • “ Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, mudamu sebelum tuamu dan kayamu sebelum miskinmu.”
    • (Riwayat al Hakim)
  3. Hati2 dengan kehidupan
    • “ Tidak melangkah seorang hamba pada hari akhirat kelak sehingga dia ditanya tentang umurnya pada apa yang telah dihabiskannya, masa mudanya pada apa yang telah dipenuhkannya, hartanya dari mana dia mendapatinya dan ke mana dia membelanjakannya dan ilmunya apakah yang telah dilakukan dengannya.”
    • (Riwayat Tirmizi)
  4. Hidup dengan ibadah
    • “ Sesungguhnya Allah sangat kagum pada pemuda yang tidak ada baginya masa muda (untuk bergembira dan bersuka-suka kerana masa mudanya dipenuhi dengan beribadat kepada Allah).”
    • (Riwayat Imam Abu Ahmad dan Ya’la)
  5. Remaja/ Pemuda pendokong Dakwah
    • Rasulullah SAW menerima wahyu ketika umur 40 tahun
    • Abu Bakr ketika itu 37 tahun
    • Umar Al Khattab memeluk Islam ketika umur 27 tahun
    • Ali ketika itu di awal remaja
    • Abdullah Mas’ud, Said bin Zaid, Abd Rahman bin Auf, Bilal bin Rabah, Mus’ab bin Umair dll
  6. Pemuda peneraju perjuangan
    • Tewasnya dua kerajaan besar dan kuat iaitu Rom dan Parsi, begitu juga tunduknya Syam, Mesir, Iraq, Tripoli dan Utara Afrika di bawah keadilan Islam adalah melalui tangan para pemuda
  7. Harapan untuk Pemuda
    • Ya Allah! Sediakan bagi umat ini para pemuda yang mempunyai keazaman, pengorbanan dan jihad seperti orang-orang yang terdahulu daripada mereka...
  8. Kembalikan kegemilangan
    • Semoga merekalah orang-orang yang akan mengembalikan kekuasaan daulah Islamiah, kemuliaan dan keagungan bagi umat Muhammad ini.

Al Imam As-syahid Hasan al-banna ada menyatakan..
“Generasi muda merupakan rahsia kehidupan umat dan sumber kebangkitannya.Kuat lemahnya umat sesungguhnya diukur dari sejauh mana kemampuan ‘rahim’ umat itu melahirkan tokoh-tokoh yang memenuhi syarat rijal (pemuda islam) yang sebenarnya.”

"Wahai Pemuda! Seruan pertama sekali kepada tugas ini untuk kamu iaitu hendaklah kamu percaya kepada diri sendiri,hendaklah kamu mengetahui kedudukan kamu dan kamu yakin bahawa kamu adalah para pemimpin dunia sekiranya kamu mahu musuh kamu menjadi hina..Tentukanlah wahai pemuda iman kamu,matlamat dan tujuan kamu"