page

Tuesday, February 15, 2011

Kelahiran Membawa Kerahmatan


Bismillahirahmanirahim....


“Dan kami tidak mengutusmu (Muhammad) melainkan kepada segenap ummat manusia, sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (QS Saba ’ : 28)  

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.” (QS At Taubah : 128)  

KELAHIRAN RASULULLAH SAW BERDASARKAN SIRAH NABAWIYAH.

Muhammad Rasulullah saw dilahirkan di tengah-tengah keluarga Bani Hasyim di Makkah Al Mukarramah pada hari Isnin,  12 Rabi’ul Awwal permulaan tahun dalam peristiwa gajah (al fiil); bertepatan dengan 20 atau 22 April tahun 571 M iaitu empat puluh tahun setelah berkuasanya Kisra Anusyirwan di Parsi.

Beliau lahir lalu diberi nama Muhammad (yang terpuji), ayahnya Abdullah (hamba Allah), ibunya Aminah (yang memberi rasa aman), datuknya dipanggil Abdul Mutthalib yang namanya adalah Syaibah (orang tua yang bijaksana) sementara bidan yang membantu ibunya melahirkannya bernama Asy-Syifa’ (yang sempurna dan sehat) yang juga adalah ibu dari sahabat Abdur Rahman bin ‘Auf ra manakala perempuan yang menyusukan Muhammad saw adalah Halimah As-Sa’diyah.

TRADISI PERINGATAN MAULID (KELAHIRAN) NABI SAW

Tradisi perayaan Maulid yang diselenggarakan oleh hampir seluruh masyarakat muslim sekarang ini bukanlah satu warisan dari Nabi Muhammad saw sejak masa hayatnya. Namun peringatan maulid ini adalah satu keputusan bijak yang ditetapkan oleh Salahuddin Al Ayyubi yang memerintah Mesir dan Syria pada tahun-tahun 564 – 589 M / 1169-1193 H.

Berbagai pendapat telah berkembang tentang kebolehan, keutamaan dan hikmah bahkan juga penolakan terhadap tradisi diadakan peringatan Maulid Nabi saw ini.

Ada beberapa tujuan yang penting dalam peringatan Maulid Nabi ini, di antaranya ialah memperkukuhkan keimanan kepada Allah dan Rasulullah saw melalui usaha menanamkan pada diri generasi baru :

  1. Kecintaan kepada Nabi saw yang melahirkan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah saw.
  2. Sikap untuk mengikuti sunnah Rasulullah saw sehingga suri tauladan kehidupan (uswah hasanah) Nabi Muhammad saw dapat diserap dan diterapkan dalam fikiran dan perilaku mereka.

Untuk mengetahui lebih mendalam tentang sejarah tauladan Rasulullah dan para sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum, tentulah diperlukan bahan rujukan dalam mengajarkan nilai-nilai yang terkandung dalam sejarah dan sunnah Rasulullah saw ini.

Rasulullah saw pernah berpesan bahwa dua pusaka abadi yang beliau wariskan kepada ummatnya adalah :

  1. Al Qur’an.
  2. Sunnah Rasulullah saw.

Tradisi memperingati Maulid Nabi semestinya diubah menjadi sebuah tradisi Islam yang sangat bermanfaat bagi kaum muslimin di mana dalam acara-acara peringatan Maulid Nabi dapat didengarkan dan dihayati contoh tauladan kehidupan Rasulullah saw.

Memperingati Maulid (kelahiran) Nabi Muhammad saw bermakna, secara sedar, kita menyusuri pekerti agung seorang yang terpilih.

1.      Jelas nasabnya.
2.      Jujur.
3.      Amanah.
4.      Baik budi pekertinya.
5.      Penyantun.
6.      Pemaaf.

Semua sifat-sifat di atas adalah sebagai uswah hasanah (contoh tauladan yang baik) bagi setiap mukmin yang percaya kepada Allah dan hari akhirat .

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah saw itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangannya) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah (zikrullah).” (QS Al Ahzab : 21)

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (QS Al-Anbiya’ : 107)

Muhammad saw adalah seorang yang istimewa dan baginda adalah Rasul pilihan Allah di antara banyak rasul sebelumnya.

Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul.” (QS Ali Imran :144)

Bahkan baginda menjadi penutup Nabi-Nabi.

“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (QS Al-Ahzab : 40)

Jadi makna hakiki dari memperingati Maulid Nabi saw mestilah diinsafi bahwa ianya bukan sekadar amalan ‘ritual’ keagamaan semata-mata, namun hendaklah ditujukan ke arah introspeksi sepenuhnya terhadap diri kita sendiri bagi meningkatkan kualiti :

  1. Hidup beragama.
  2. Peningkatan ibadah.
  3. Pergaulan dengan masyarakat.

REFLEKSI PERINGATAN MAULID, MENELADANI RASULULLAH SAW

Salah satu refleksi peringatan maulid adalah mengambil keteladanan Nabi Muhammad saw yang telah mengeluarkan ummat manusia dari lembah :

1.      Kemiskinan harta.
2.      Kemiskinan ilmu.
3.      Kemiskinan akhlak.
4.      Kemiskinan pemikiran dan kerohanian.
5.      Kemiskinan persaudaraan.

Muhammad saw mengeluarkan ummat dari kemiskinan harta dengan memacu kepada usaha individu dengan memberi benih untuk ditanam bukan menyediakan nasi untuk dimakan.

Petunjuk yang tersirat dalam beberapa sabda Rasulullah saw di antaranya :

“Bekerjalah kamu untuk duniamu seakan-akan kamu akan hidup selamanya dan berusahalah kamu untuk akhiratmu seakan-akan kamu akan mati esok hari.” (HR Ibnu ‘Asakir)

Dalam kehidupannya Rasulullah saw telah memberi contoh tauladan yang baik iaitu tidak pernah menolak pengemis yang datang ke rumahnya. Bahkan sering para pengemis diberi benih kurma untuk ditanam sehingga mereka dapat memberi makan kepada anak cucu mereka.

Rasulullah saw sangat menghargai makna sebuah kerja.

Etos kerja Islam merupakan manifestasi kepercayaan muslim yang memiliki kaitan dengan tujuan hidup yang hakiki iaitu ridha Allah swt dalam meraih prestasi di dunia dan akhirat.

Selain itu, Nabi Muhammad saw juga mendorong ummat agar tidak miskin ilmu.

Beliau saw memberi pesanan dengan mengingatkan,

“Barangsiapa yang menginginkan dunia mestilah dengan ilmu, dan barang siapa yang menginginkan akhirat mestilah dengan ilmu, dan barang siapa yang menginginkan kedua-keduanya mestilah dengan ilmu”. (HR Muttafaqun ‘Alaih)

Dengan ilmu yang diredhai Allah maka seseorang dianggap sebagai pewaris Nabi dan dengan ilmu, kebahagiaan di dunia akhirat dapat di raih.

Nabi Muhammad saw mendorong agar manusia tidak menjadi miskin pemikiran. Apabila pemikiran sehat, memancarlah bayangan kesehatan itu pada perilaku kehidupan sehari-hari.

Risalah Islamiyah adalah suatu anugerah bagi ummat manusia. Nabi Muhammad saw telah berhasil membawa masyarakat jahiliyah yang miskin pemikiran menjadi masyarakat yang luhur, berakhlak, memiliki sopan santun dan beradab dalam pergaulan dengan menghidupkan empat sikap utama.

1.      “Syaja‘ah” ertinya berani pada kebenaran dan takut pada kesalahan dan dosa.

2.      “Iffah” ertinya pandai menjaga kehormatan diri samada lahir atau batin.

3.      “Hikmah” ertinya tahu rahsia diri dan pengalaman hidup.

4.      “’Adalah” ertinya adil walaupun pada diri sendiri.

Nabi Muhammad saw adalah peribadi teladan yang mesti menjadi idola kepada kaum muslimin.

  1. Setiap langkahnya sentiasa di bawah pengawasan Ilahi.
  2. Tindakan dan ucapannya adalah mutiara yang berharga.
  3. Tatacara kehidupannya menjadi landasan pembentukan akhlak ummatnya dalam beramal dan menjadi hukum yang ditaati.

Tiada seorangpun yang dapat meragukan keagungan peribadi Rasulullah saw.

KEPERIBADIAN RASULULLAH SAW MENJADI CONTOH TAULADAN DALAM SEGALA PERKARA.

Rasulullah saw adalah menjadi contoh tauladan dalam semua keadaan :

1.      Sebagai suami.
2.      Sebagai ayah.
3.      Sebagai guru.
4.      Sebagai tokoh.
5.      Sebagai ahli strategi.
6.      Sebagai ahli ekonomi.
7.      Sebagai pejuang hak-hak asasi manusia.
8.      Sebagai ketua negara.

Keteladanan Nabi Muhammad saw mampu mengubah sistem dan tatacara kehidupan yang ada ke arah yang lebih baik dan bertujuan mulia iaitu “negeri yang baik dan makmur serta mendapat keampunan Tuhan”.

Nilai-nilai keteladanan tersebut hendaknya menjadi warisan yang paling berharga bagi kita ummat manusia tanpa terkecuali.

1.      Setiap niat yang kita bulatkan.
2.      Setiap langkah yang kita ayunkan.
3.      Setiap pernyataan yang kita ikrarkan.
4.      Setiap perbuatan yang kita lakukan.

Semua unsur-unsur di atas merupakan cerminan dan keteladanan Rasulullah saw yang mesti diterapkan dalam kehidupan kita.

Maka dalam usaha untuk mengikuti ajaran beliau, sudah semestinya sifat beliau menjadi jatidiri seorang muslim.

Di antara sifat mulia yang beliau miliki adalah sifat ‘shiddiq’ sehingga Rasulullah saw diberi gelaran Al Amin (orang yang boleh dipercayai).

“Shiddiq” ertinya benar atau jujur, lawan kepada dusta atau bohong. Seorang muslim dituntut memiliki sifat shiddiq dalam keadaan benar lahir mahupun batin.

PERTAMA : “SHIDQUL QALB”.

Iaitu benar hati atau kejujuran hati nurani yang hanya dapat dicapai jika hati dihiasi dengan iman kepada Allah swt dan bersih dari segala macam penyakit hati. Sifat ini akan mencapai kematangan apabila didukung dengan sifat ihsan.

KEDUA : “SHIDQUL HADITS”.

Iaitu benar atau jujur dalam ucapan dan perkataan. Seseorang boleh dikatakan jujur dalam perkataan apabila semua yang diucapkannya adalah suatu kebenaran bukan kebatilan.

KETIGA : “SHIDQUL AMAL”.

Iaitu benar perbuatan atau beramal soleh sesuai dengan syari’at Islam.

Sifat ‘shiddiq’ menghantarkan seseorang ke pintu gerbang kebahagiaan baik di dunia mahupun di akhirat sesuai dengan sabda Rasulullah saw berikut :

“Hendaklah kamu semua bersikap jujur, kerana kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga. Seseorang yang telah jujur dan mencari kejujuran akan ditulis oleh Allah sebaqai seorang yang jujur (shiddiq). Dan jauhilah sifat bohong, kerana kebohongan membawa kepada kejahatan, dan kejahatan membawa ke neraka. Orang yang se1a1u berbohong dan mencari-cari kebohongan, akan ditulis oleh Allah sebaqai pembohong (kazzab)”. (HR Bukhari)

Sifat shiddiq adalah “lubuk emas” dalam diri seseorang yang sangat berharga dan sifat inilah yang dijadikan ukuran kepercayaan orang lain kepadanya.

Apabila seseorang telah kehilangan sifat ‘shiddiq’, maka hilanglah jati dirinya, kerana tiada yang mahu mempercayainya. Sikap ini pula yang amat diperlukan di dalam membangun bangsa dan negara tercinta ini.

NILAI UTAMA DALAM PERINGATAN MAULID NABI MUHAMMAD SAW

Memperingati “maulidul-rasul” sebenarnya menanamkan keinginan yang kuat untuk  mengikuti jejak langkah sunnah Rasulullah saw yang di wariskannya sesuai dengan wahyu Allah tentang perutusan Muhammad Rasulullah saw menjadi “Rahmat bagi seluruh alam” dan rela menjadikannya “uswah hasanah”.

Contoh keteladanan yang teramat sempurna dari “Nabi terakhir” yang telah melakukan perubahan menyeluruh terhadap berbagai perilaku ke arah yang lebih baik dalam kehidupan manusia iaitu dari :

  1. Keadaan kegelapan tatacara kehidupan kepada peradaban yang terang benderang.
  2. Sifat kebohongan dan ketidakpercayaan kepada sikap ketelusan dan kejujuran.
  3. Kesempitan  hidup kepada kehidupan yang penuh cahaya.

Hendaklah kita sedari sungguh-sungguh bahwa kehadiran manusia di permukaan bumi ini perlu memikul dua tugas utama :

1.      Untuk melakukan “ ishlah” iaitu perubahan dan pembaikan.

2.      Untuk menjadi “uswah” iaitu contoh utama dalam peranan kekhalifahannya.

Tanpa kedua sikap ini, sebenarnya kewujudan manusia tidak dapat memberi kesan yang nyata.

Perubahan yang di bawa oleh Rasulullah saw berdasarkan bimbingan Wahyu Allah swt menuntun manusia kepada fitrahnya menjadi ummat yang :

  1. Bertuhan.
  2. Berakhlaq.
  3. Berbudi pekerti.

Perubahan yang berlaku tidak semata-mata bertumpu kepada keinginan peribadi, tetapi sentiasa dengan bimbingan Al Khaliq, Yang Maha Pencipta dan perilaku manusia yang mendapat bimbingan wahyu Allah dan sunnah Rasul saw ini pasti terjauh dari apa-apa pertentangan dalam kehidupan manusia.

Inilah perbezaan yang mendasar dalam hal perubahan yang di lakukan oleh “reformer” lainnya yang sering melahirkan pemaksaan kehendak, tindakan kekerasan bahkan sikap ‘anarki’.

Perubahan berdasarkan Sunnah Rasulullah saw berasaskan kepada “Syari’at Islam” dan berintikan proses perubahan dan perbaikan berbentuk :

1.        “Tajdid” (pemurnian).

2.        “Ishlah” (pembaikan dan penyempurnaan).

3.      “Taghyir” (perubahan sikap).

Perubahan ini adalah perubahan perilaku yang berperadaban tanpa merosakkan.

Ajaran Islam memperingatkan ummatnya untuk menghindarkan diri dari tindakan merosakkan samada dalam tata cara perilaku mahupun pemikiran dengan berusaha untuk menjauhi pemaksaan kehendak.

Agama Islam menghormati prinsip tidak ada paksaan dalam agama.

Kewajiban yang asasi adalah melakukan musyawarah dalam setiap urusan. Teguh identitinya dan proaktif dalam mengajak dan mengamalkan kebaikan-kebaikan dan dalam masa yang sama menolak setiap kejahatan dan kerosakan.

Gerakan “ amar makruf nahi munkar”  bertujuan untuk melawan segala corak kemaksiatan yang menyangkut tatacara dan hubungan peribadi, keluarga, masyarakat, lingkungan, bangsa dan negara.

Tujuan utamanya ialah menciptakan ummat yang berkualiti atau “khaira ummah” atas dasar iman kepada Allah. ‘Intensiti’ yang tinggi berpaksi dalam menggairahkan perlumbaan kepada kebaikan.

Ajaran Islam telah terbukti dalam sejarah panjang peradaban manusia berhasil menciptakan suatu komuniti ummat yang kian hari bertambah jumlahnya sampai akhir zaman.

Perutusan Rasulullah saw mencatatkan kegelapan perilaku kehidupan jahiliyah masa lalu, antara lain seperti yang dikatakan oleh Jaafar Bin Abu Talib ketika menceritakan keadaan kehidupan mereka sebelum Islam kepada Raja Najasyi ketika di Habshah :

“Kami adalah orang jahiliyah, penyembah berhala (kepatuhan kepada selain Allah dengan menggunakan kedudukan, kekuasaan, harta kekayaan), pemakan bangkai (tidak mengenal halal-haram), memutus silaturrahim (dengan penindasan, sikap anarki, gangguan), berbuat bencana terhadap jiran tetangga, dan perbuatan keji (judi, rompak, rasuah, zina) , sehingga yang kuat menelan yang lemah (sombong kekuasaan, penompokan kekuatan golongan dan kelompok). Sampai Allah mengutus kepada kami seorang Rasul dari kalangan kami sendiri, yakni Muhammad saw yang sangat kami kenal nasab, kebenaran, kejujuran, amanah dan baik budi pekertinya. Oleh kerana itu kami mempercayainya, dan kami benarkan risalahnya.” (HR Bukhari dan Abu Daud)

Hadist ini memberi beberapa pengajaran kepada kita :

PERTAMA : Risalah Rasulullah saw diterima kerana kejujuran pembawanya iaitu peribadi Muhammad Al-Amin.

KEDUA : Keutamaan Wahyu Allah mampu merombak tata perilaku kehidupan masyarakat secara menyeluruh.

KETIGA : Keteguhan ummat dengan tingkatan istiqamah yang tinggi dalam kerangka jihad di jalan Allah.

KEEMPAT : Teguhnya keyakinan kepada kehidupan ukhrawi, bahwa hidup tidak semata-mata bersifat fizikal dan materialistik.

KELIMA : Kecerdasan ummat melihat ketinggian Agama Islam yang membawa konsep hidup yang terbaik.

Kelima-lima faktor di atas akan menjadi pembangkit utama Pergerakan Islam sebagai kekuatan alternatif pada masa depan.

Ummat Islam hari ini di tuntut untuk berperanan aktif sebagai :

1.      Pengisi konsep.

2.      Penggerak kehidupan duniawi.

Agama Islam tidak hanya terikat dengan ibadah dalam ertinya yang sempit seperti puasa, solat, zikir dan doa malah mampu membangun amalan yang soleh dalam membentuk kualiti hidup kebaikan di dunia dan di akhirat.

Dalam rangka inilah kita peringati Maulid Nabi saw.

Ya Allah, jadikanlah peringatan Maulid NabiMu benar-benar memberi kesan kepada azam dan tekad kami untuk kami mengikuti dan menyusuri akhlak dan peribadi mulia baginda saw. Kurniakanlah syafaat NabiMu kepada kami di akhirat nanti serta tempatkanlah NabiMu pada maqam yang tinggi di syurgaMu nanti.

Ameen Ya Rabbal Alameen

No comments:

Post a Comment